PENGENALAN
Batu kurau merupakan sebuah mukim dalam Daerah Larut Matang yang terletak kira-kira 25 km ke utara Bandar Taiping. Terletak kesebelah Utara Taiping melalui Jalan Besar Kamunting terus ke Batu Kurau mengambil masa perjalanan kenderaan lebih kurang 30 minit. Jika dari Pekan Selama boleh melalui Pondok Tanjung – Ulu Sepetang ke Batu Kurau atau dari Selama melalui Redang Panjang atau Pekan Ijok – Pantai Besar ke Batu Kurau. Persempadanan mukim ke utara adalah Mukim Ijok, ke Timur Mukim Selama, ke Selatan Mukim Taiping dan ke Barat ialah Mukim Gunong Semanggol (Daerah Kerian). Dengan keluasan mukim seluas lebih kurang 17,751 hektar; keadaan muka bumi adalah terdiri daripada tanah pamah dan hutan berbukit bukau.
ASAL USUL SEJARAH PEMBUKAAN
Menurut cerita lisan orang tua-tua bahawa asal nama “Batu Kurau” adalah sempena penemuan seketul batu besar ditebing sungai di Kg. Batu 14 (Sungai Kurau) yang menyerupai seekor ikan kurau. Lantaran kawasan yang mula diteroka itu diberi nama ‘Batu Kurau’, manakala sungai tersebut diberi nama Sungai Kurau.
Dari sudut sejarah, pentadbiran Mukim Batu Kurau bermula kira-kira pada sekitar tahun 1850an lagi dimana penduduk tempatan telah melantik seorang pemimpin awal sebagai Penghulu iaitu Tok Amar Wan Kasa bin Raja Hulubalang Pattani (1850-1867). Sejarah ini bersamaan dengan sejarah pembukaan Bandar Taiping semasa zaman Long Jaafar menjadi pembesar di jajahan Larut (1850-1857). Peranan dan tugas Penghulu adalah sebagai pentadbir urusan kehidupan masyarakat setempat yang masih dibawah pemerintahan penjajah Inggeris pada masa tersebut.
Penduduk di Batu Kurau kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu keturunan Pattani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk Wilayah Pattani, Selatan Thai. Sememangnya orang pattani suka memilih tempat yang strategik untuk membuka kampung sesuai dengan cara hidup mereka yang bercucuk tanam dan menternak haiwan. Mereka suka tinggal di kawasan kaki bukit yang mempunyai lata sungai yang jernih airnya serta kawasan tanah pamah yang berpaya untuk menanam padi. Kawasan kaki bukit memang sesuai untuk tanam pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis, cempedak dan sebagainya; sementara lata yang mengalir ke sungai-sungai dapat membekalkan air ke sawah padi. Justeru, kehidupan orang petani yang begitu simbiosis dengan faktor alam semula jadi.
Bermula dengan kewujudan perlantikan pertama Penghulu Mukim Batu Kurau tersebut, maka pentadbiran mukim ini diteruskan sehingga ke masa kini diurus tadbir oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.
SENARAI PENGHULU-PENGHULU YANG TELAH BERKHIDMATAN
- Tok Amar Wan Kasa B. Raja Hulubalang Petani (1859-1867)
- Wan Musa B. Tok Amar Wan Kasa (1868-1881)
- Tok Semanggik B. Wan Musa (1882-1887)
- Wan Teh Safiah Bt.Wan Ismail (1888-1889)( Penghulu pertama kaum wanita )
- Mohd. Ali B. Tok Amar Wan Kasa (1890-1895)
- Hj. Mohd. Noh B. Laksamana Mohd. Amin (1896-1897)
- Hj. Mohd. Saman B. Hj. Mohd. Amin (1898-1901)
- Raja Chik Abd. Hamid B. Raja Hj.Yahaya; (1902-1904) ( Tok Muda Imam Paduka Tuan)
- Raja Hj.Yahaya B. Raja Syed Mohd. Ali (1905-1907)
- Raja Shahbuddin B. Raja Dagang; Tok Seri Rakna (1908-1910)
- Hj. Abdullah Ali B. Retam; Tok Perdana (1911-1913)
- Mohd. Sulaiman B. Salleh (1914-1919)
- Mohd. Sajak B. Pandak; (Tok Rakna Sakti) (1920-1930)
- Pandak Abd. Karim B. Doya; Tok Rakna Bongsu (1931-1936)
- Mat Piah B. Abdullah (1937-1946)
- Hj. Wan Abd. Manan B. Hj. Wan Abu Bakar (1947-1953)
- Raja Sulaiman B. Raja Abdullah (1954-1960)
- Meor Mohd. Yusoff B. Hj. Meor Hamzah (1961-1962)
- Raja Ismail B. Raja Ahmad Tajuddin (1963-1969)
- Megat Amir B. Megat Yahia (1969-1971)
- Wan Abdullah B. Wan Im (1972-1974)
- Abd. Aziz B. Hj. Rafie (1975-1979)
- Zolkapli B. Adnan (1980-1987)
- Hj.Tun Yaacob B. Hj.Tun Abd. Raffar (1988-1993)
- Abd Samad b. Abd Rahman (1989 – 1993)
- Ahmad Othman b. Yahaya (1991 – 2006)
- Zolkapli B. Adnan (1994-2006)
- Mohd Sabri b. Hussin (2006- 2008)
- Zulkhalil B. Hj. Ahmad Razali (2007- 2010)
- Ridwan b. Baharudin (2008 – 2010)
- Ab Rahim b. Syarif (2007- 2010)
- Hj.Tajuddin b. Ismail (2010 -2011)
- Baharudin b. Ramli (2011 – 2015)
- Mohamat Nawawi b. Mohd Noor (2011 – sekarang: 2016)
Gambar Penghulu dan Pemimpin Tempatan dalam Mukim zaman dahulu